Karang-Lah

KESINAMBUNGAN PENGISIAN ILMIAH DI BMH 13

Mei 10, 2009 · Tinggalkan Komen

DSCN0291

SABTU, 9 MEI – Bicara Minda dan Hati, program kolaborasi antara MASCA SA, UMNO SA dan MISSA kembali menemui mahasiswa Adelaide di Surau Union House, University of Adelaide hari ini. Program yang berkonsepkan pengisian rohani dan pembinaan motivasi kendiri ini bermula pada jam 11.30 pagi dan dipengerusikan oleh saudara Mohd Azam Aziz.

Pada sesi pertama, saudara Khairul Azmi Jamil, mahasiswa tahun ketiga jurusan kejuruteraan mekanikal telah membentangkan topik ‘Cekal dalam Mendidik Diri.’ Dengan menggunakan kisah Nabi Yusuf a.s. sebagai contoh, saudara Azmi begitu bersemangat menerangkan mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh setiap manusia yang beragama Islam. Empat jenis cabaran yang dihuraikan oleh beliau adalah; cabaran dari saudara, cabaran suasana persekitaran, cabaran jantina berlawanan dan cabaran dari syaitan.

“Kita boleh mengucapkan taawuz jika menerima jemputan yang bertentangan dengan matlamat kita untuk mendidik diri,” terang beliau apabila menjelaskan mengenai ajakan-ajakan yang mampu menggoyahkan keimanan. “Kita juga perlu sentiasa bersabar dan berkorban dalam usaha kita mengingati Allah.”

DSCN0295Sesi seterusnya dikendalikan oleh saudara Mohd Bukhari Ramli. Seperti yang dijanjikan oleh BMH yang lepas, sesi ini akan dibuka untuk para peserta program untuk mengasah bakat public speaking. Seramai enam orang peserta telah mengambil bahagian di dalam sesi yang menarik ini dan setiap dari mereka begitu bersemangat membentangkan ilmu. Peserta yang keluar ke hadapan dan memanfaatkan ruangan ini adalah saudara Arif, Syukri, Nawawi, Omar, Balqis dan Aznan. Ulasan diberikan setelah tiga peserta membentangkan topik di hadapan selama lima minit, kemudian diteruskan pula dengan tiga peserta yang lain. Antara ulasan tentang pembentangan ini adalah kepentingan menstrukturkan isi dan beberapa teknik untuk menarik minat audiens dengan lebih berkesan, seperti menggunakan analogi dan berinteraksi dengan audiens semasa membentang topik.

Walaupun penyertaan BMH kali ini kurang menggalakkan, tetapi pengisian kali ini nyata memberangsangkan. Pengarah program, saudara Wan Mohd Aizat mengulas bahawa pengisian yang berkualiti sebenarnya adalah lebih penting daripada ramai atau tidak peserta yang hadir. “Penyertaan peserta dalam sesi kedua amat mantap dan saya amat berpuas hati dengan BMH kali ini,” ujar beliau.

Ahli Jawatan Kuasa BMH seharusnya memperkasakan pengisian BMH ini supaya manfaatnya dapat disebarluaskan, apatah lagi buat mahasiswa tahun pertama. Selain itu, promosi yang awal dan berkesan barangkali mampu untuk menarik minat mahasiswa Adelaide yang lain untuk menghadiri program yang berguna seperti ini. – SYUKRI ROSLI

Kategori: Uncategorized
Tagged:

0 responses so far ↓

  • Tidak ada komen buat masa ini...Sila isikan borang dibawah ini.

Tinggalkan Komen