Karang-Lah

DRAMA: KAMPUNG JANDA BERJANGGUT

Ogos 14, 2009 · Tinggalkan Komen

OLEH KATAK BERHARAP

WATAK-WATAK

WARTAWAN (seorang wartawan wanita dari majalah berprestij Malaysia, Ketupat)

JURUGAMBAR (jurugambar Ketupat)

USTAZ BERJUBAH DAN BERSERBAN (seorang alim muda)

SAINTIS  MEMAKAI KOT MAKMAL(seorang graduan muda bioteknologi yang baru pulang dari Australia)

PAK TAM (Tuan Warung TEH TARIK SETARBAK)

DUA ORANG LELAKI MEMAKAI JUBAH DAN LEBAI (pengikut Ustaz)

DUA ORANG LELAKI MEMAKAI KOT MAKMAL (pengikut Saintis)

KETUA PENGARANG KETUPAT(berpakaian kemas)

BABAK 1

SUARA LATAR:

Sebenarnya, masalah dalam manusia Barat, secara tabiinya, tidak boleh menjangkit ke dalam kemanusiaan Timur yang terbina dengan asas akidah yang kukuh dan dipelihara oleh syariah yang utuh. ManusiaTimur yang berpegang teguh pada Islam yang dibawa 1400 tahun lampau menyaksikan pelbagai perkembangan baik dari segi pengetahuan, kemahiran, kesenian, pentadbiran dan kemasyarakatan. Di sudut lain, di dunia Barat, sejarah telah menyaksikan kecelaruan di dalam sistem kemasyarakatan yang didominasi oleh golongan gereja. Golongan menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan saintifik menentang kongkongan gereja dengan penciptaan dan pergerakan falsafah rasional mereka. Pertentangan yang berkurun antara golongan gereja dan saintis ini menyebabkan lahirnya satu gagasan yang memisahkan antara agama dan sistem sosiopolitik – yang dinamakan secularization. Sungguhpun pada zaman sekarang, golongan Barat mendakwa mereka telah menjuarai kemodenan, namun, di celah-celah bangunan tinggi dan kecanggihan iPhone dan internet, masih terdapat manusia yang tidak mencerminkan ketamadunan yang mereka banggakan itu.

Persoalannya di sini, apakah bayang-bayang hitam yang menghantui manusia Barat sekian lama itu muncul dan menghantui manusia Timur pula sekarang?

Tirai pentas dibuka, menampakkan susunan kerusi dan meja di sebuah warung yang bertanda “TEH TARIK SETARBAK.” Seorang lelaki tua kelihatan sedang mengelap meja dan membetul-betulkan kedudukan kerusi. Seorang lelaki yang membawa kelalang kon yang berisi cecair biru pekat dan diikuti dengan dua orang yang memakai kot putih makmal mengambil tempat duduk di warung. Kelihatan saintis itu menggoncang perlahan kelalang konnya sambil memberi penerangan saintifik mengenai apa yang sedang dilakukannya. Dua orang pengikutnya tekun menyalin apa yang dicakapkannya. Tuan warung yang berada di balik kaunter menggeleng-gelengkan kepala.

PENGIKUT SAINTIS 1

Inilah bagusnya kita, mengkaji sesuatu itu dari segi saintifik. Kalau tak, selama-lamanya orang percaya pada benda tahyul dan tak logik. Zaman sekarang ini, semuanya perlu dibuktikan dengan sains. Dengan sains sahajalah kita boleh mencapai kemajuan.

PENGIKUT SAINTIS 2

Betul tu. Zaman moden ini, takkan kita nak berpegang lagi pada benda-benda kolot itu. Eii, bodohnya kalau tak berfikir secara saintifik macam kita. Tambahan, sekarang ni, bila kerajaan berusaha nak memudahkan pelajaran sains, dengan buat PPSMI, masih ada yang nak menentang. Apa ke jumud punya pemikiran. Tak tahu ke, ilmu sains semuanya dalam Bahasa Inggeris. Kalau nak belajar dalam Bahasa Melayu, takat sastera-sastera ni bolehlah.

SAINTIS

Bagus, bagus. Nampaknya, kalian sudah memahami konsep ilmu saintifik yang saya pelajari di Australia dulu. Itulah gunanya kita belajar sains, boleh buatkan manusia jadi pandai, macam kalian.

Pak Tam, kasi teh tarik Setarbak tiga. Kurang manis ya. Pak Tam tahu tak yang fruktosa, laktosa dan sukrosa boleh ditukarkan menjadi lemak serta-merta dalam badan. Kami tak naklah kena obesiti, juga diabetis.

PAK TAM

Haaaaa?????

SAINTIS

TEH TARIK TIGA!!!

(Pak Tam menyediakan pesanan yang diminta. Sementara itu, pengikut saintis sibuk mencatat entah apa. Saintis meneliti kelalang konnya)

PENGIKUT SAINTIS 1

Entah-entah, teh tarik Pak Tamlah punca janda di kampung sini semua berjanggut tak.

PENGIKUT SAINTIS 2

Hah, macam mana tu doktor? Tak nak masukkan itu sebagai dalam senarai possibilities of occurance? Mana tahu…

SAINTIS

Tak boleh, tak boleh. Saya dah buat eksperimen. Itu tak lojik sekali. Kalau betul teh tarik Setarbak ini puncanya, mesti Pak Tam ni dah lama jadi jembalang tua.

(Ketawa berdekah-dekah)

PENGIKUT SAINTIS 1

Jembalang tua yang pekak. (ketawa lebih kuat)

(Pak Tam menghantar tiga cawan teh tarik di meja.)

(Kedengaran bunyi enjin kereta dimatikan)

(Semua orang bangun dan tertengok-tengok ke arah tepi pentas. Wartawan dan jurugambar masuk ke pentas)

PENGIKUT SAINTIS 1

Eh, tengok tu, siapa tu hah? Kenapa kereta tu ada gambar Ketupat besar-besar dekat pintu kereta? Tak ada unsur-unsur saintifik pun.

PENGIKUT SAINTIS 2

Ketupat? Bukan makanan itu makanan raya ke? Tahu tak, rendang yang dihidang bersama Ketupat itu mengandungi kolestrol yang sangat tinggi. Tak baik untuk kesihatan tu. Kenapalah orang kita bodoh sangat hidang benda-benda tak sihat ni?

SAINTIS

Kamu berdua ni. Itu wartawanlah. Tengok ada orang bawa kamera besar. Ini mesti wartawan Ketupat. Kalau bernasib baik, mesti kita dapat masuk muka depan. Mesti kita jadi terkenal. Bukan senang orang nak kenal saintis macam kita ni. Ayuh, cepat kita tegur mereka.

WARTAWAN

Encik, boleh tumpang tanya? Ini kampung yang ada perempuan berjanggut tu ke?

SAINTIS

Hah, memang cik tiba di tempat yang betul dan waktu yang tepat. Saudari ni wartawan Ketupat kan? Nama saya Ali. Dekat Australia, orang panggil saya Al’. Saya graduan bioteknologi dari sana. Tapi tak apa, saya boleh ceritakan apa yang berlaku di sini secara saintifik. Maklumat itupun yang awak nak tahu kan?

WARTAWAN

(Terkejut dan berundur setapak ke belakang) Err.. boleh, boleh. Tapi, boleh kami duduk dulu tak? Jauh perjalanan kami ni.

SAINTIS

Eh, boleh! Apa salahnya. Sila-sila. Ha, Pak Tam, bagi teh tarik special untuk dua orang wartawan Ketupat ni.

PAK TAM

Haaaa apa?

PENGIKUT SAINTIS 2

(menjerit) TEH TARIK 2!!

(mereka berlima duduk semeja. Wartawan dan juru gambar berasa kurang selesa kerana perlakuan saintis dan pengikutnya sedikit aneh)

WARTAWAN

Awak ini penduduk kampung ini juga ke? Pakaian awak aneh sekali.

SAINTIS

Sudah semestinya. Saya pakai begini sebab nak tunjukkan saya adalah seorang ahli bioteknologi. Saya adalah satu-satunya anak kampung ini yang berjaya ke luar negara. Sudah semestinya, saya produk PPSMI yang berhasil tu.

WARTAWAN

Oh ya ka. Saya ingatkan orang gila mana tadi. Jadi, bolehlah saya wawancara encik bertiga mengenai kejadian yang berlaku di kampung ini.

PENGIKUT SAINTIS 2

Boleh sahaja. Asalkan cik letakkan muka kami di muka hadapan majalah Ketupat ya.

WARTAWAN

Itu tiada masalah. Itupun kalau ketua pengarang tengok muka kalian cukup kacaklah.

(Kedengaran salam dari tepi pentas. Tiga orang berjubah dan berserban  sambil membawa tasbih merapati pentas)

USTAZ

Masya-Allah, cerah betul hari ini ya, akhi-akhi sekalian. Ana rasa inilah keberkatan yang kita semua dapat. Cuba antum bayangkan kalau hujan hari ini, mesti susah kita nak ke sini. Sesungguhnya, inilah yang dinamakan rahmat. Orang yang ada kefahaman sahaja yang dapat merasakan semua ini.

KEDUA-DUA PENGIKUT USTAZ

Alhamdulillah. Keberkatan…. Kerahmatan… Kefahaman… (berkata sambil mengangkat tangan macam berdoa)

USTAZ

Janganlah kita menjadi macam orang lain yang senang terjebak dalam kemaksiatan. Ingatlah, kita yang memperoleh cahaya ini, patut menjaganya bersungguh-sungguh. Janganlah jadi macam anak muda zaman sekarang ni… (menjeling ke arah meja saintis dan wartawan)

KEDUA-DUA PENGIKUT USTAZ

Astagafirullahhhhhh

WARTAWAN

Eh, itu orang kampung ini juga ke, pak cik?

PAK TAM

(Meletakkan dua cawan teh tarik di atas meja) Haaaaa????

SAINTIS

Pak Tam ni pekak. Kena cakap kuat-kuat sikit!

WARTAWAN

Tak baik tau jerit dekat orang tua-tua ni. Macam inilah, Saya tanya encik sahajalah. Mereka orang kampung ini juga ke?

PENGIKUT SAINTIS 1

Yalah. Tapi, pakaian mengalah orang dari negeri Arab.

Tiga orang lebai duduk di meja berdekatan. Kepala mereka bergerak-gerak seolah meratib-ratib. Ustaz memesan air dan Pak Tam menghadapi kesukaran mendengarnya.

WARTAWAN

Kalau macam itu, baguslah. Lagi ramai saya wawancara, lagi banyak maklumat yang saya dapat. Tapi, eloklah saya mulakan dengan kamu bertiga dulu.

ADEGAN 2

Ustaz kembali duduk di meja. Lampu sorot ditalakan ke arah ketiga-tiga lebai yang baru duduk di meja berlainan. Lampu latar dimalapkan

USTAZ

Alhamdulillah. Moga pengisian ana tadi dapatlah antum semua dapat ambil manfaat. Sekarang, ana buka usrah kita pada perbincangan isu semasa. Ada sesiapa yang nak mulakan dahulu?

PENGIKUT USTAZ 1

Ana rasa biarlah ana mula dulu. Enta mesti tahu apa yang sudah terjadi dekat kampung kita ini. Masya-Allah (menggelengkan kepala)

PENGIKUT USTAZ 2

Masya-Allah (menggeleng-gelengkan kepala juga)

USTAZ

Boleh enta ceritakan apa yang terjadi. Ana tak mahirlah meneka-neka ni.

PENGIKUT USTAZ 1

Ala, enta takkan tak tahu kot.

USTAZ

Betul, ana tak tahu. Ana kan berada di masjid sahaja sepanjang masa. Hari ini sahaja ana ambil keputusan untuk keluar. Kalau tak, mana boleh mencemari kemuliaan ana ni.

PENGIKUT USTAZ 1

Takkan cerita ni tak sampai ke masjid, ustaz? (Ketawa)

(Tiba-tiba terkejut kerana pahanya dikuit oleh pengikut ustaz 2)

PENGIKUT USTAZ 2

Enta ni, tak baik tau biarkan Naqib kita tertanya-tanya. Enta tak tahu ke masjid itu rumah Allah? Mana boleh suka-suka keluar masuk berita. Anta jangan anggap Naqib suka buat macam orang lain buat tau.

PENGIKUT USTAZ 1

( Terdiam. Terasa sangat bersalah) Maafkan ana, akhi.

USTAZ

Tak mengapalah, kerana manisnya ukhwah, ana maafkan. Hah, cepatlah cerita.

PENGIKUT USTAZ 1

Hmmmm…. begini. Ustaz tahu tak yang kampung kita diserang oleh satu wabak. Tapi, wabak ini bukan semua boleh kena tau.

USTAZ

Maksud anta, wabak H1N1? Wabak selesema ba alif ba ya tu ke? Eiii, mana boleh sebut perkataan tu. Kotor hati ana nanti.

PENGIKUT USTAZ 1

Bukan wabak itu. Maksud ana, wabak ini tak boleh berjangkit dekat brothers. Wabak ini hanya kena dekat sisters.

PENGIKUT USTAZ 2

Sisters yang mana enta maksudkan. Yang dalam jemaah ke luar jemaah?

PENGIKUT USTAZ 1

Mestilah luar jemaah. Sisters yang tak reti nak tutup-tutup ni. Bukan apa, ana ada dengar cerita yang wabak ni teruk juga. Suatu hari tu, waktu ana pergi pasar, ana nampak.. err.. ternampak sebenarnya, yang betullah apa yang orang cerita tu benar-benar terjadi.

PENGIKUT USTAZ 2

Apa yang jadi sebenarnya, ya akhi?

PENGIKUT USTAZ 1

Kalau ustaz nak tahu, sisters-sisters tu dah berjanggut. Eiii, muka semua sudah jadi macam laki. Seram ana tengok.

USTAZ

Masya-Allah. Betul ke apa yang enta nampak tu? Mana tahu, pandangan enta dikacau syaitan. Tahu sahajalah, syaitan ini suka menimbulkan fitnah. Tambah-tambah lagi kalau berkait rapat dengan wanita ni.

PENGIKUT USTAZ 2

Betul ke enta cakap ni. Enta jangan main-main. Tak cium bau syurga nanti, baru enta tahu!

PENGIKUT USTAZ 1

Betulllll. Mana ada ana fitnah. Takkan ana nak biar diri ana terbakar dalam neraka waktu akhirat nanti. Ana tengok sendiri dengan mata kepala ana. Itulah yang ana musykil tu. Tapi, ana tak tahu lah siapa sisters-sisters tu. Tapi, apa yang ana pasti, dari segi lenggok jalan goyang pinggul, ana pasti lagi yakin, itu sisters yang luar jemaah kita.

PENGIKUT USTAZ 2

Bukan janggut tipu? Panjang mana janggut tu? Kalau nipis aja, biasalah tu. Mana-mana perempuan tua pun ada tumbuh janggut juga.

PENGIKUT USTAZ 1

Panjangggg. Mula-mula ana ingatkan rambut, ana buat tak kisahlah. Tapi, kalau rambut, kenapa tumbuh depan muka panjang sampai ke dada? Tak pelik ke? Ana nampak mereka cuba sembunyi mula-mula, biasalah malu-malu segan dengan ana.. Tapi, bila angin kuat tiup, kelubung mereka terbang dan ternampaklah apa yang tersirat dan tersurat. Habis lari mereka nak tutup. Tapi nak buat macam mana, Tuhan dah nak tunjuk.

USTAZ

Masya-Allah. Kalau enta cakap macam tu, kita kena tsiqahlah dekat enta.

PENGIKUT USTAZ 1 DAN 2

Masya-Allah.. (menggeleng-geleng)

USTAZ

Eh, cuba dengar betul-betul. Meja sebelah ni, ada borak tentang perempuan berjanggut tu.

PENGIKUT USTAZ 2

Bukan tak baik ke dengar aib orang, ustaz?

USTAZ

Tak apa. Isu ini antum kena tahu. Ini isu umat juga.

Lampu pentas dicerahkan kembali

BABAK 3

WARTAWAN

Apa pandangan encik saintis tentang punca kejadian ini.

SAINTIS

Oh, itu mudah sahaja. Berdasarkan kajian intensif saya, dan beberapa langkah empirik yang telah saya lakukan, ternyatalah apa yang berlaku ini bukan dua, tapi satu puncanya.

PENGIKUT USTAZ 2

Chup, chup. Boleh guna bahasa yang semua orang boleh faham tak?

SAINTIS

Eh, haji-haji sekalian baru turun dari langit mana ni? Tiba-tiba mencelah perbualan orang ni.

PENGIKUT SAINTIS 2

Itulah. Orang macam haji mana boleh dengar bicara orang macam kami. Kami mengaji buku kimia, buku biologi. Dalam bahasa Inggeris pula tu. Lainlah macam haji, mengaji kitab. Kotorlah hati ‘enta’ nanti kalau campur-campur macam ni.

WARTAWAN

Tak mengapa. Teruskan encik saintis. Mungkin mereka juga nak mendengar.

SAINTIS

Keputusan yang saya dapati adalah penumbuhan ketara bulu-bulu di bawah dagu wanita-wanita itu, atau lebih mudah dikenali sebagai janggut, adalah berpunca daripada konsep evolusi Darwin yang songsang yang diakibatkan oleh pengambilan diet yang tidak seimbang. Seperti yang kita tahu…

WARTAWAN

(Memotong cakap) Boleh huraikan apa itu evolusi Darwin songsang?

SAINTIS

Eh, biarlah saya habis cakap dulu. Hah, itulah cik tak mengaji betul-betul dekat sekolah dulu. Kalau tak, mesti sudah dapat belajar di universiti. Tengok macam saya, sampai ke Australia kerajaan kita hantar. Itulah sebabnya, dari sekolah lagi….

WARTAWAN

(Memotong cakap) Eh, encik ni, mahu jawab ke tak? Kalau tak nak jawab, tak perlulah wawancara ni. Saya boleh tanya orang lain. Haji-haji ni pun mungkin banyak maklumat yang boleh saya dapat.

USTAZ

Betul, betul, betul.

SAINTIS

Okey, okey. Dah tak belajar dekat Australia, nak buat macam mana. Begini, dahulu, Darwin pernah mengemukakan teori yang mengatakan bahawa manusia ini, berasal dari beruk.

PENGIKUT USTAZ 1

Dari beruk? Ini syirik ni! Ini khurafat ni!

PENGIKUT SAINTIS 2

Eh, sabar dulu. Biar dia terangkan sampai habis dulu. Jangan melulu ya. Jangan jumud ya.

PENGIKUT USTAZ 2

Jangan main-main hal ni tau. Silap-silap tak boleh tanam dekat kubur orang Islam. Hah, itupun kalau kau mati manusialah. Kalau mati beruk, atas pokoklah kau berulat.

SAINTIS

Eh, cakap baik-baik sikit tau. Darwin ada buat kajian mendalam tau mengenai hal ini. Kau apa tahu? Boleh bagi kitab mana yang terangkan hal ni? Eleh, baru berusrah sikit, dah pandai nak letak kubur orang dekat mana.

WARTAWAN

Tuan haji di sebelah kiri ni boleh sabar sekejap? Saya nak dengar apa yang dia nak terangkan ni. Teruskan encik saintis.

SAINTIS

Proses beruk yang menjadi manusia ini (sambil menjeling ke arah ustaz dan pengikutnya), kita namakan sebagai proses evolusi. Dari berbulu penuh satu badan, tinggal bulu-bulu dekat beberapa tempat sahaja.

PENGIKUT USTAZ 2

Lucah, lucah. Maksiat ni!

SAINTIS

Proses ini mengambil masa yang panjang, beribu-ribu tahun. Tapi sekarang, apa yang berlaku, ia sudah terbalik pula. Evolusi telah berlaku secara songsang.

WARTAWAN

(tekun mencatat) Maksudnya?

SAINTIS

Soalan yang bagus..

PENGIKUT USTAZ 1

Itupun bagus? Ini bibit-bibit penzinaan ni!

PENGIKUT SAINTIS 2

Eh, tiba-tiba pula. Memang baguslah wartawan ni bertanya, nak tahu. Bukan tahu nak menghukum fatwa saja!

WARTAWAN

Kamu berdua boleh diam tak? Saya nak dengar penjelasan dia ni.

SAINTIS

Memandangkan pemakanan kita dalam zaman moden ini tak seimbang, ia memberi kesan terhadap pertumbuhan kita. Kalau dahulu, kita makan pucuk-pucuk daun untuk bertukar dari beruk kepada manusia, kini kita makanan kita menjadi lebih daripada itu. Cik boleh bayangkan sendiri makanan dekat Malaysia ni macam mana. Apabila semua bahan yang terdapat dalam makanan ni masuk dalam badan, maka akan jadi tindak balas kimia. Tindak balas kimia inilah yang akan membuatkan proses evolusi ini menjadi serabut. Hasilnya, pertumbuhan manusia tidak lagi berjalan dengan betul…

WARTAWAN

Maksud encik, makanan kita sekarang ini, punca manusia kembali berbulu macam beruk. Atau lebih tepat lagi, mula menjadi beruk.

SAINTIS

Ya betul! Betul sekali. Bagus betul pandangan cik wartawan Ketupat ni. Nampaknya cik ini saintifik sekali pemikirannya. Saya suka orang saintifik-saintifik ni tau.

PENGIKUT USTAZ 2

Huh, memang nak mula masuk dalam lubang maksiat ni. Ustaz, kita kena buat amar maaruf nahi munkar ni.

USTAZ

Tunggu dulu, kita dengar dulu apa saintis ni nak cakap. Sabar. Antum semua ikut ana istigfar. Istigfar.. Istigfar

PENGIKUT USTAZ 1 dan 2

Istigfar.. Istigfar… Istigfar…

WARTAWAN

(tidak mempedulikan) Tapi, encik mesti kemukakan bukti kalau nak mengetengahkan sesuatu teori. Apa bukti encik saintis? Jangan pandai-pandai nak buat andaian. Tahulah belajar dekat Australia. Tapi, kebenaran tetap kebenaran. Tak kisahlah belajar dekat Australia ke tak.

SAINTIS

Ini! (Mengangkat kelalang kon berisi cecair biru)

WARTAWAN

Eiiiiiiii, apa tu? Kenapa nampak macam jijik sangat? Dekat Australia diajar buat benda tu ke?

SAINTIS

(Ketawa) Inilah campuran segala bahan kimia yang terdapat dalam makanan. Campuran inilah yang akan mempercepat pertumbuhan bulu-bulu di badan. Inilah yang menyebabkan evolusi manusia dari beruk menjadi songsang.

WARTAWAN

Saya tak faham. Macam mana cecair ini boleh sebabkan pertumbuhan.. errr… geli pula saya nak sebut. Apalah teori-teori saintifik zaman sekarang ni. Beruk pun boleh jadi manusia. Manusia pun boleh balik jadi beruk. Ermm, apa ayat yang sopan ni? Aha, bagaimana cecair ini boleh menterbalikkan teori Darwin itu?

SAINTIS

Apa yang saya belajar dari Australia dulu, kita perlukan semacam ‘tikus putih’ untuk kita uji. Sekiranya ‘tikus putih’ itu positif terhadap ujian, maka, terbuktilah punca perempuan di kampung ini adalah disebabkan pemakanan tidak sihat. Itu pun, kalau saya dapat ‘tikus putih’ untuk diujilah.

WARTAWAN

Tapi, bukankah tikus putih sudah ditumbuhi bulu? Ujilah macam mana pun, memang dia sudah ada bulu. Bulu putih pula tu. Eiii, aku gelilah dekat tikus. Sebut pun dah meremang bulu roma.

PENGIKUT USTAZ 2

Apalah ummat sekarang ni bincang bulu-bulu ni. Inilah yang dinamakan perbuatan yang lagha. Perbuatan yang sia-sia. Patutlah Daulah Islam tak tertegak.

PENGIKUT SAINTIS 1

Diamlah! Kerana kajian saintifiklah bangsa barat jadi maju. Kalau takat nak bincang macam mana nak kahwin empat, nak pakai minyak atar jenis apa, nak pakai serban besar mana, memang sampai kiamatlah akan masih begini. Jawab tengok kalau pandai; antara telur dan ayam, mana yang keluar dulu?

PENGIKUT USTAZ 1

Hei, kau tu cakap baik-baik sikit. Apa yang kau tahu tentang agama? Orang-orang macam kamulah yang patut diam. Ini tak, sikit-sikit bertanya. Sikit-sikit bertanya. Ini nak tanya, itu nak tanya. Perangai macam orang Yahudi.

PENGIKUT SAINTIS 2

Haa.. Itulah dinamakan kolot. Itulah dinamakan jumud. Itulah yang dinamakan Yahudi. Eh, tahu tak yang orang Yahudi banyak kali menang Nobel. Hah, memanglah mereka banyak bertanya, sebab mereka pandai.

WARTAWAN

Yang lain-lain ini boleh tolong diam tak? Saya tengah ada wawancara ni. Hah, haji-haji sekalian, sekarang giliran haji pula.

USTAZ

(Kembali semula mendekati mejanya) Anak-anak usrah ana, antum sabarlah. Ini adalah ujian orang-orang beriman, orang-orang bertaqwa.

PENGIKUT SAINTIS 2

Eleh, macamlah mereka sahaja beriman, bertaqwa.

WARTAWAN

Pada pendapat haji sekalian, macam mana kita nak selesaikan masalah perempuan berjanggut dekat kampung ni?

USTAZ

Ana rasa, ini mesti bala dari Tuhan. Tengok, Tuhan suruh tutup aurat, tapi perempuan atau sisters tu tak nak tutup. Sekarang, tengok apa sudah jadi? Berjanggut, berbulu. Hah, itu baru balasan di dunia. Belum tentu balasan di akhirat. Nerakalah tempatnya.

Dulu terbuka sana-sini. Terpampang segala-gala. Sekarang? Huh. Yalah, kalau mereka nak bercukur pun, tapi lama-lama tumbuh balik janggut tu. Takkan perempuan nak bercukur sepanjang masa. Itukan kerja orang lelaki. Lainlah bagi lelaki yang ikut sunah. Takkan nak biar orang ramai akan keliru mana satu lelaki, mana satu perempuan. Nama kampung kita pun nanti busuk pula. Kalau dah jadi macam tu, macam mana kita nak tegakkan daulah dari kampung kita ni? Kan?

WARTAWAN

Jadi, apa yang haji rasa yang haji boleh buat? Saya tanya tentang apa penyelesaiannya. Rasanya, semua dah tahu pun semua ini bala.

USTAZ

(Mengurut-ngurut dagu dan kurang yakin) Hmmmm… hanya dengan dakwah sahaja penyelesaiannya.

PENGIKUT USTAZ 1

Dakwah? Maksud ustaz, kena keluar 40 hari? Boleh bagi nama sekarang, ustaz?

PENGIKUT SAINTIS 1

Eh, eh. Menyelit pula dia. Kalau nak keluar, kau nak pergi mana? Masalah dalam kampung ni, bukan dekat kampung lain.

PENGIKUT USTAZ 1

Kau diamlah.

USTAZ

Tak semestinya kena keluar. Hmmmm, tapi, ana percaya lagi yakin bahawa sesungguhnya dengan dakwah sahajalah yang boleh menyelesaikan masalah ini. Antum kena yakin dengan kenyataan ini. Juga, kepada anda, cik wartawan, cik-cik saintis sekalian. Tak lama lagi, sampailah mesej kita ni pada sister-sisters tu. Insya-Allah

PENGIKUT USTAZ 1 DAN 2

Insya-Allah..

SAINTIS

Wah, hebat sekali slogan tu. Hah, dakwahlah tengok. Betul ke jadi ke tak jadi. Kalau dah pandai cipta slogan tu, masuklah pertandingan mencipta slogan. Mana tahu, boleh menang peti ais.

PENGIKUT USTAZ 2

Kau jangan main-main. Naqib ana ini mulia tau. Sekali tumbuh kurap dekat ketiak kau, baru kau tahu. Hei, hilang sabar aku ni! (Bangun dan bersedia untuk menyerang saintis).

WARTAWAN

Okey, okey. kamu semua ni, cukuplah bergaduh tu. Malu betul dengan ilmu yang kalian ada, tapi perangai macam budak-budak. Beginilah, saya rasa, saya sudah kumpul cukup maklumat untuk setakat ini. Tapi sebelum saya pergi, saya nak meminta jasa baik kalian untuk tunjukkan saya, di mana rumah perempuan berjanggut tu. Boleh tak? Siapa yang boleh bawa kami ke sana? (Bangun)

SAINTIS

Kami boleh bawa. (Pengikut saintis 1 dan 2 sama-sama bangun)

USTAZ

Kami pun boleh bawa. (Ustaz dan pengikut-pengikutnya mendekati wartawan)

PENGIKUT SAINTIS 1

Biarlah kami yang bawa. Tak manis orang tengok orang berjubah berserban usung anak dara orang rata-rata. Biarlah sahajalah kami yang kurang beriman, kurang bertaqwa ni tunjukkan jalan.

PENGIKUT USTAZ 1

Mana boleh. Kalianlah yang tak boleh dipercayai. Orang-orang macam kamilah sahaja yang boleh memelihara fitnah.

(Wartawan berjalan ke arah kereta dan diekori oleh ustaz, saintis dan pengikut-pengikut mereka)

(Pak Tam ke meja untuk membersihkan kotoran. Dia mengangkat kelalang kon yang tertinggal tinggi-tinggi)

PAK TAM

Heii, kalau minum dekat kedai aku, jangan letak air longkang dekat meja makan. Tak senonoh betul. (Mengambil kelalang kon dan bersedia untuk membuangnya)

SAINTIS

Hei, Pak Tam nak buat apa dengan cecair tu? Eh, kau tolong ambil balik cecair tu dari Pak Tam.

PENGIKUT SAINTIS 2

Pak Tam nak buat apa dengan cecair ni? Eh, bagi balik. Itu kami punya!

(Wartawan, jurugambar, saintis, ustaz dan pengikut berhenti, melihat apa yang akan berlaku)

PAK TAM

Eh, kau nak buat apa dengan air longkang ni? Eii, baik aku buang dalam longkang. Bukan ada guna pun.

PENGIKUT SAINTIS 2

Pak Tam, itu hasil kajian saintifik tu! (Merebuti kelalang kon)

PAK TAM

Haa? Air ikan Pasifik berhantu??(Tak mendengar kata pengikut saintis 2) Ishhh, kalau dah tau berhantu, kenapa bawa merata-rata. Aku kena buang ni. Kau bagi aku sahaja buat. Aku tau nak buat apa dengan benda ni. (Bersedia untuk mencampak pada penonton)

SAINTIS

Pak Tam, jangan! (Saintis berlari mendapatkan Pak Tam)

USTAZ

Antum semua tengok, betapa tamaknya orang sekarang dengan benda-benda dunia ni.

WARTAWAN

Eh, dia tu tak boleh ke cakap baik-baik dengan orang tua? Kurang ajar betul. Dengan orang tua pun nak berebut.

(Saintis yang berlari tadi tidak semena-mena melanggar Pak Tam dan cecair tadi mengenai mereka berdua. Pengikut saintis 2 tadi melopong apabila melihat Saintis mengelupur di atas Pak Tam.)

Asap menguasai ruang pentas. Lampu menjadi caca merba. Terdengar jeritan sebelum semua lampu pentas dipadamkan.

ADEGAN 3

Tiba-tiba, kedengaran ketawa seperti ketawa jembalang kemudian lama-kelamaan menjadi suara beruk. Lampu masih tidak dinyalakan.

WARTAWAN

Eiiii, kenapa saintis ni jadi jembalang.

PENGIKUT USTAZ 2

Ustaz, macam mana ni? Ustaz belum ajar lagi jampi nak halau jembalang.

PENGIKUT SAINTIS 1

Apa? Jembalang? Lari, jembalang! Jembalang!!!

PENGIKUT SAINTIS 2

Lari! Lari! Itu bukan jembalang. Itu zombie!!!!

USTAZ

Lari! Lari! Ana belum belajar lagi macam mana jampi halau jembalang atau zombie ni. Hantu mesti terbakar kalau masuk masjid! Jom lari ke masjid!

(Terdengar tapak kaki Ustaz dan orang lain bercempera meninggalkan dewan.)

Prop di pentas berubah. Meja pejabat dan sebuah kerusi ada di tengah-tengah pentas.

(Lampu dicerahkan kembali)

Seorang lelaki yang sedang menghisap paip dan membaca akhbar berjalan masuk ke pentas dan duduk di atas kerusinya. Beberapa ketika kemudian, kedengaran pintu diketuk.

KETUA PENGARANG

Masuk.

WARTAWAN

Cik Syukri nak jumpa saya?

KETUA PENGARANG

Ya, cik Nurul silakan duduk.

WARTAWAN

Terima kasih. Ada apa sebenarnya ni, cik?

KETUA PENGARANG

Saya nak tanya beberapa soalan tentang laporan yang awak buat tentang Kampung Janda Berjanggut tu. Begini, apa pendapat awak tentang kampung itu?

WARTAWAN

Pada pendapat saya, masyarakat kampung itu ada masalah sekularisme yang dahsyat. Pemisahan pemahaman dunia secara rohani dan jasmani inilah yang menyebabkan strata masyarakat menjadi rosak. Agamawan, pemikir sudah celaru mana tempatnya. Malah, masalah pelik-pelik pun boleh terjadi, Encik Syukri.

KETUA PENGARANG

Apa maksud Nurul tu? Boleh ceritakan pada saya, apa yang sebenarnya berlaku.

(Bangun)

Slaid yang menunjukkan gambar-gambar yang ditangkap oleh jurugambar dipaparkan kembali. (Sekiranya tiada projektor, lukisan-lukisan di atas kertas mahjong boleh ditunjukkan pada Ketua Pengarang)

WARTAWAN

Sebenarnya Cik Syukri, kumpulan agamawan di kampung itu menngongkong setiap pergerakan penduduk di situ. Apa yang dibuat, dikatakan semuanya salah. Itu salah. Ini salah. Apa yang betul tidak diberitahu pula. Sesiapa yang tidak mengikut ustaz di kampung itu, akan terus dikatakan ahli neraka. Tapi, siapa yang masuk dalam kumpulan atau kelompok mereka, diberi banyak kelebihan pula.

KETUA PENGARANG

Contohnya?

WARTAWAN

Dapat makan percuma. Dapat kemudahan sukan. Dapat ikut rombongan pusing-pusing negara.

KETUA PENGARANG

Wah, banyaknya aktiviti. Mana dapat duit tu? Ermm.. Tapi, itu tak penting, teruskan cerita, Nurul.

WARTAWAN

Ada sesetengah orang menentang kongkongan golongan agamawan ini. Namun, mereka tidak ada hujah untuk menegur. Tambahan, akhlak dan perangai mereka pun boleh dipersoalkan. Itu sebabnya mereka tak mampu bersemuka untuk menyatakan ketidakpuasan hati. Tambahan, kalau dilihat cuba melawan golongan agamawan, mereka itu akan dilabel sebagai orang menentang agama, tak Islamik dan bermacam-macam lagilah.

KETUA PENGARANG

Oh, sampai begitu sekali. Siapa agaknya orang itu?

WARTAWAN

Siapa lagi kalau bukan golongan yang baru pulang dari Australia ni. Mereka mengaku sahaja mereka saintis, tapi, sebenarnya, tak ada apa-apa pun.

KETUA PENGARANG

Apa yang mereka buat, Nurul?

WARTAWAN

Encik Syukri, mereka telah mencipta sejenis cecair yang cepat menumbuhkan bulu. Eiii, geli pula saya sebut benda-benda ni. Tapi, mereka salah gunakan cecair itu. Mereka membubuh cecair itu dalam telaga asrama janda di kampung tersebut. Jadi, apabila penyakit atau wabak berjanggut ini kena pada janda-janda tu, pastilah mereka mahu menjadi juara untuk menyelesaikan masalah ini, kerana mereka sahajalah mengetahui puncanya. Pada pendapat saya, mereka cuba mengambil kesempatan atas penemuan mereka itu. Mereka yakin, golongan agamawan tidak mampu menyelesaikan masalah ini.

KETUA PENGARANG

Maksud Nurul, mereka mahu menentang golongan agamawan?

WARTAWAN

Bukan menentang. Tetapi mereka mahu memecah kongkongan golongan agamawan kerana mereka tak dapat ruang untuk berkongsi pengetahuan mereka pada masyarakat. Semuanya dihalang atau dikesampingkan oleh golongan agamawan ini. Tapi bagi sayalah kan, mereka bukan nak  sangat mementingkan ilmu sains tu, tapi lebih kepada nak menonjolkan diri. Nak mencari populariti. Huh, kalau nak cepat popular, masuklah Malaysian Idol.

KETUA PENGARANG

Jadi, dalam hal ni, kerana terlalu mahu mengejar populariti, mereka sengaja menyebabkan kejadian Janda Berjanggut itu berlaku. Tentu mereka tahu bagaimana nak mengubati pertumbuhan janggut-janggut itu, kerana merekalah yang mencipta cecair itu, kan?

WARTAWAN

Sudah tentu, cik Syukri!

KETUA PENGARANG

Tapi, akhirnya, ketua saintis itu sendirilah yang terkena bahananya.

WARTAWAN

(Ketawa). Ya, ya. Lebat dan cepat betul bulu badannya tumbuh. Jadi macam jembalang. Cemas sungguh kami waktu itu. Takut pun  ada. Yang lain habis lari lintang pukang, tinggal saya dengan jurugambar sahaja.  Kami cari balik pengikut saintis tu. Mujur, pengikutnya itu tahu penawarnya. Jadi, saya katakan, kalau nak ubati ketua mereka ni, mereka perlu mengakui kesilapan mereka dan mengubati janda kampung itu terlebih dahulu. Jika tidak, saya akan siarkan di media untuk dibaca oleh rakyat seluruh negara.

KETUA PENGARANG

Bijak sekali kamu, Nurul! Saya bangga mempunyai wartawan seperti ini dalam Ketupat.

WARTAWAN

Terima kasih. Terlalu melangit pula pujian itu. Jadi, Encik Syukri, nak tanya apa lagi sebenarnya dari saya ni?

KETUA PENGARANG

Rasa-rasa awaklah kan, patut tak kita terbitkan cerita Kampung Janda Berjanggut ini dalam edisi Ketupat seterusnya? Dalam isu semasa misalnya?

WARTAWAN

(Berfikir sebelum berbicara). Pada pandangan saya, mungkin kita tak perlu tulis secara direct. Tak eloklah cerita tentang keaiban orang ni. Yalah, Ketupat kan majalah berprestij. Kita tak mainlah isu-isu sensasi ni. Tapi, mungkin kita boleh tulis secara kiasan. Barangkali kita boleh tulis skrip drama. Dengar kata, ruang karya kreatif masih kosong.

KETUA PENGARANG

Bagus cadangan kamu tu. Nanti saya akan usahakan. Sebelum awak pergi, saya ada satu lagi soalan terakhir.

WARTAWAN

Apa dia, Encik Syukri?

KETUA PENGARANG

Apa yang terjadi pada Pak Tam di dalam laporan awak di Kampung Janda Berjanggut tu?

WARTAWAN

Sebenarnya……

Lampu dipadamkan perlahan-lahan. Semua pelakon kembali ke pentas dan memberi tunduk hormat. Tirai dilabuhkan.

Kategori: Karya

0 responses so far ↓

  • Tidak ada komen buat masa ini...Sila isikan borang dibawah ini.

Tinggalkan Komen